Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

Mengejar sakura di Vietnam

Mengejar sakura di Vietnam

Bila tiba musim bunga, ramai teringin ke negara-negara yang mempunyai empat musim, untuk menikmati keindahan pelbagai bunga-bungaan, khususnya bunga sakura atau cherry blossom.

Maka ramai yang membuat rancangan untuk bercuti ke Jepun, Korea, China atau negara-negara Barat untuk ‘mengejar’ musim sakura kerana bunga tersebut bertahan lebih kurang dua minggu sahaja sebelum gugur.

Tetapi tahukah anda bahawa bunga sakura juga boleh didapati di sebuah negara ASEAN? Siapa sangka di Vietnam juga kita boleh mengejar sakura?

Vietnam merupakan sebuah negara yang mempunyai corak cuaca yang berbeza-beza. Walaupun sebahagian besar negara itu bercuaca tropika dan mengalami musim monsun, namun cuaca dari satu tempat ke satu tempat yang lain sangat berbeza.

Contohnya, di selatan dan tengah negara itu, cuacanya mungkin ada dua musim, iaitu basah dan kering. Bagaimanapun di bahagian utaranya mengalami empat musim; bunga, panas, gugur dan sejuk. Malah sesetengah wilayah yang jauh di utara, suhu boleh jatuh ke tahap beku dan salji akan turun beberapa tahun sekali.

Jadi, jika ingin mengejar bunga sakura di Vietnam, tempat yang anda perlu tuju ialah bahagian utara atau kawasan tanah tinggi di tengah negara itu, antara bulan Februari hingga April. Di sesetengah tempat, sakura mungkin mula berbunga seawal Januari. Ia bergantung pada keadaan cuaca dan ketinggian tempat.

Cuma perlu diingatkan juga, dalam tempoh ini sering berlaku hujan gerimis dan suhu mungkin berada pada sekitar 19 darjah celsius. Buatlah persediaan pakaian yang bersesuaian dengan cuaca tersebut.

Selain sakura, pelbagai bunga lain mula menguntum seperti bunga plum, aprikot dan pic. Jika ke utara Vietnam pada lewat musim bunga, elok juga ke kawasan pergunungannya di mana anda boleh menikmati panorama menakjubkan, dengan sawah padi yang menghijau di teres-teres bukit.

Mengejar sakura di Vietnam
Cherry blossom di Da Lat.
Mengejar sakura di Vietnam
Musim bunga yang dingin di Moc Chau, Son La, Vietnam.

Beberapa buah tempat di Vietnam yang boleh anda pertimbangkan untuk merasai musim bunga ialah Sapa, Hanoi, Dataran Tinggi Dong Van di Ha Giang, Dataran Tinggi Moc Chau di Son La dan Da Lat.

Cuma diperingatkan, pada bulan Februari, rakyat Vietnam akan menyambut perayaan tahun baru atau Tet, dan ia akan disambut secara besar-besaran.

Buatlah persediaan awal, tempah tiket kapal terbang dan kereta api lebih awal untuk mendapatkan harga murah. Ini kerana pada musim perayaan Tet, ramai yang akan pulang ke kampung dan harga tiket akan melambung tinggi.

Bagaimanapun, hotel-hotel lazimnya mudah ditempah kerana kurang pelancong datang dalam tempoh itu.

Sumber gambar: Facebook Amazing Things in Vietnam

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!