Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

pemain tertua beraksi di liga Jepun

📷 : Instagram @yokohamafc_official

Kazuyoshi Miura jadi pemain tertua beraksi di liga Jepun pada usia 53 tahun

Kazuyoshi Miura menjadi pemain tertua beraksi di liga Jepun ketika bemain bersama pasukan Yokohama FC pada usia 53 tahun.

Pemain penyerang itu bermula dalam kesebelasan utama pasukannya ketika menentang Kawasaki Frontale pada usia 53 tahun, 6 bulan dan 28 hari. Ia juga sekaligus memecahkan rekod yang dipegang oleh Masashi Nakayama bersama pasukan Consadole Sapporo pada tahun 2012 ketika berusia 45 tahun, 2 bulan dan 1 hari.

Miura yang dikenali dengan gelaran “Raja Kazu” diberikan penghormatan untuk menjadi kapten pasukan dan beraksi selama 53 minit. Namun keputusan perlawanan tidak berpihak kepada pasukannya apabila tewas dengan keputusan 3-2.

Ini adalah penampilan pertama Miura dalam pertandingan Liga J divisyen pertama sejak 2007, setelah Yokohama dinaikkan pangkat dari divisyen dua pada musim lepas.

📷 : Instagram @yokohamafc_official

Bekas penyerang Jepun itu juga bukan satu-satunya pemain veteran yang beraksi untuk pasukan Yokohama. Daisuke Matsui yang berusia 39 tahun dan Shunsuke Nakamura yang berusia 42 tahun turut beraksi pada perlawanan tersebut.

Miura sebelum ini memulakan karier bola sepak ketika di Brazil, selain pernah beraksi di Itali, Croatia, Australia dan beberapa pasukan di Jepun dalam tempoh 37 tahun.

Pada peringkat antarabangsa, Miura pernah mewakili negara Jepun sebanyak 89 kali, dengan menjaringkan 55 gol sejak tahun 1990.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!