Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

garam beriodin

Hanya garam beriodin yang dijual di pasaran bermula 1 Januari 2021

Pengiodinan garam secara universal (USI) ialah satu inisiatif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengurangkan masalah gangguan kesihatan akibat kekurang iodin. Inisiatif ini dilakukan bagi memastikan keperluan zat iodin diperolehi oleh setiap lapisan masyarakat, untuk mencegah gangguan kesihatan akibat kekurangan iodin di Malaysia.

Sehubungan itu, pada November 2018, seluruh Malaysia telah diwartakan untuk menggunakan garam beriodin secara mandatori bagi kegunaan isi rumah, dan sepatutnya mula berkuatkuasa mulai 30 September 2020. Oleh kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, garam beriodin hanya akan berada di seluruh pasaran bermula 1 Januari 2021.

Mengapa garam dipilih sebagai medium untuk menambah zat iodin? Ia kerana garam digunakan secara meluas oleh semua peringkat usia tanpa mengira status ekonomi. Selain kos yang rendah, ia hanya diperlukan dalam kuantiti sedikit bagi memenuhi keperluan individu setiap hari.

Bagaimanapun, zat iodin sangat mudah untuk meruap. Kaedah penyimpanan dan masakan yang betul dapat membantu dalam memastikan zat iodin kekal sehingga dimakan. Anda hanya perlu menyimpan garam di dalam bekas kedap udara, pada suhu bilik agar iodin tidak meruap. Manakala ketika memasak, anda hanya perlu taburkan garam beriodin dalam masakan sejurus sebelum api masakan ditutup.

Selain garam, anda boleh mendapatkan iodin melalui rumpai laut, ikan, sotong, udang, kerang, keju, daging, telur ayam dan produk makanan fortifikasi.

Kekurangan zat iodin boleh menyebabkan tumbesaran terjejas seperti bantut, selain masalah kesihatan yang lain iaitu goiter (bengkak di kelenjar tiroid), peningkatan berat badan, keguguran rambut, kulit kering, keletihan dan lesu berpanjangan.

Malah iodin juga merupakan zat yang penting bagi wanita dalam fasa kehamilan, berpantang dan menyusu bayi. Ia kerana keperluan zat iodin akan meningkat kepada dua kali ganda semasa hamil bagi menampung keperluan ibu dan janin. Selain melancarkan fungsi tubuh badan ibu secara menyeluruh, ia juga dapat membantu perkembangan otak dan tumbesaran bayi, selain mengurangkan risiko kecacatan.

Keperluan iodin ini juga adalah berberza bagi setiap individu mengikut jantina dan umur masing-masing. Namun anda digalakkan untuk tidak mengambil garam beriodin melebihi satu sudu teh setiap hari.

Sumber: nutrition.moh.gov.my

Baca artikel: Jangan tahan kentut jika mahu sihat

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!