Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

Diego Maradona meninggal dunia

📷 : Twitter @CONMEBOL

Diego Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun

Legenda bola sepak Argentina, Diego Armando Maradona dilaporkan telah meninggal dunia pada 25 November 2020 ketika berusia 60 tahun.

Baru-baru ini, dia juga dilaporkan telah membuat pembedahan untuk membuang darah beku pada bahagian otaknya.

“Kamu membawa kami ke puncak dunia. Kamu membuat kami berasa sangat gembira. Kamu adalah yang terbaik berbanding mereka semua.” – Alberto Fernandez, Presiden Argentina


Maradona & Bola Sepak

Maradona adalah bekas pemain dan pengurus bola sepak profesional dari Argentina. Malah dia juga dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman oleh peminatnya.

Kehebatannya dalam membuat hantaran, kawalan dan menggelecek bola membolehkan dia menjadi salah seorang pemenang bersama anugerah ‘Pemain FIFA abad ke-20’. Manakala para penyokong bola sepak Argentina memberikannya gelaran “El Pibe de Oro” (“The Golden Boy”).

Antara pasukan yang pernah diwakilinya sebagai pemain adalah pasukan Argentinos Juniors, Boca Juniors, Barcelona, ​​Napoli, Sevilla dan Newell’s Old Boys.

Rekod dunia pertama yang dilakukan olehnya adalah dengan menjadi pemain pertama dalam sejarah bola sepak yang berjaya memecahkan rekod yuran perpindahan sebanyak dua kali. Kali pertama adalah ketika dia berpindah ke Barcelona dengan rekod £5 juta, dan kali kedua ketika berpindah ke Napoli dengan rekod £6.9 juta.

Pada peringkat antarabangsa, dia telah mewakili pasukan Argentina sebanyak 91 kali dengan menjaringkan 34 gol. Kejayaannya bersama pasukan Argentina adalah ketika memenangi Piala Dunia pada tahun 1986. Peringkat suku akhir Piala Dunia 1986 itu juga menjadi saksi kehebatannya apabila menjaringkan dua gol paling bersejarah. Gol pertama adalah ketika dia menjaringkan gol dengan menggunakan tangan sehingga ia dikenali sebagai ‘Tangan Tuhan’. Manakala gol kedua apabila dia berjaya menggelecek dan melepasi lima pemain England sejauh 60 meter, dan dipilih sebagai “Goal of the Century” oleh pengundi FIFA.com pada tahun 2002.


Dunia bola sepak memberikan penghormatan

“Apa berita yang menyedihkan. Saya kehilangan rakan yang hebat dan dunia kehilangan legenda. Masih banyak yang harus dikatakan, tetapi buat masa ini, semoga Tuhan memberi kekuatan kepada ahli keluarga. Suatu hari, saya harap kita dapat bermain bola bersama di langit.” – Pele

“Laporan dari Argentina mengatakan bahawa Diego Armando Maradona telah meninggal dunia. Dia adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman dari generasi saya. Setelah menjalani kehidupan yang diberkati tetapi bermasalah, mudah-mudahan dia akhirnya mendapat sedikit ketenangan di tangan Tuhan.” – Gary Lineker

“Berpeluang bertemu dengannya. Berita yang sangat menyedihkan. RIP Diego Maradona.” – Harry Kane

“Terima kasih atas segalanya, Diego” – FC Barcelona


Biodata Diego Maradona

Nama penuh: Diego Armando Maradona
Tarikh lahir: 30 Oktober 1960
Tempat lahir: Lanús, Buenos Aires, Argentina
Tarikh kematian: 25 November 2020
Tempat kematian: Tigre, Buenos Aires, Argentina

Karier sebagai pemain
1976–1981: Argentinos Juniors – 167 penampilan (116 gol)
1981–1982: Boca Juniors – 40 penampilan (28 gol)
1982–1984: Barcelona – 36 penampilan (22 gol)
1984–1991: Napoli – 188 penampilan (81 gol)
1992–1993: Sevilla – 26 penampilan (5 gol)
1993–1994: Newell’s Old Boys – 5 penampilan (0 gol)
1995–1997: Boca Juniors – 30 penampilan (7 gol)
*Hanya rekod untuk liga domestik sahaja.

Karier antarabangsa
1977–1979: Argentina bawah 20 – 15 penampilan (8 gol)
1977–1994: Argentina – 91 penampilan (34 gol)

Karier sebagai pengurus/jurulatih
1994: Textil Mandiyú
1995: Racing Club
2008–2010: Argentina
2011–2012: Al-Wasl
2013–2017: Deportivo Riestra (pembantu)
2017–2018: Fujairah
2018–2019: Dorados de Sinaloa
2019–2020: Gimnasia de La Plata

Baca artikel: FIFA dedahkan senarai pemain terbaik 2020

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!