Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

Cegah kemalangan di eskalator

Eskalator merupakan sejenis kemudahan pengangkutan yang mengangkut penumpang dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain di dalam sesebuah bangunan, seperti di kompleks membeli-belah. Ia terdiri daripada rantaian anak tangga menggunakan motor elektrik yang bergerak naik ke atas, atau turun ke bawah dalam sebuah landasan.

Eskalator
Eskalator memberi kemudahan kepada pengunjung di sesebuah tempat, namun ia juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna.

Kemudahan yang disediakan boleh membahayakan nyawa terutamanya terhadap kanak-kanak sekiranya orang dewasa terlepas pandang. Terutamanya dalam keghairahan membeli-belah, ramai ibu bapa  yang tidak menyedari mengenai keselamatan si kecil sehingga menyebabkan pelbagai hal yang tidak diingini, seperti terjatuh atau berlaku kecederaan melibatkan eskalator.

Pada peringkat usia tiga hingga empat tahun, si kecil sudah pandai berjalan dan berlari. Mereka aktif ke sana sini tanpa mengira bahaya di sekeliling. Sikap mereka yang sentiasa ingin tahu serta mudah tertarik dengan apa sahaja objek yang wujud di sekeliling mereka boleh mengundang bahaya.

Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di eskalator seperti;

Pemakaian Kasut Bergetah
Kaki merupakan bahagian penting ketika ia merupakan anggota badan yang berpijak di atas eskalator. Justeru, jenis kasut yang dipakai juga menjadi punca kenapa kaki kanak-kanak selalu tersepit di eskalator. Dalam satu kejadian pada tahun 2011, di salah sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di Lembah Klang, seorang kanak-kanak menjadi mangsa tersepit di eskalator. Ketika itu, dia memakai kasut getah jenama terkenal yang juga merupakan sejenis kasut anti-gelincir diperbuat daripada getah yang sepatutnya memberi perlindungan kepada pemakainya daripada terjatuh di permukaan licin. Malangnya, kasut itu menyebabkan kakinya tersangkut dan tersepit di bahagian tepi eskalator yang sedang bergerak. Selain itu, tali kasut yang tidak diikat kemas juga boleh menyebabkan kaki anak anda tersepit. Jadi, pastikan anda mengawal kedudukan anak-anak ketika menaiki eskalator. Jangan biarkan mereka berada di tepi eskalator.

Mencegah kemalangan adalah lebih baik daripada menyesal di kemudian hari.

Penggunaan Stroller
Kebanyakan eskalator diletakkan tanda larangan membawa stroller ketika menaiki tangga bergerak itu. Jika anda membawa anak di dalam stroller, anda sepatutnya menggunakan lif dan bukannya eskalator. Ini kerana, ia bukan sahaja membahayakan nyawa anak anda, tetapi juga nyawa anda sendiri dan pengguna-pengguna yang lain. Tangga eskalator dan stroller sebenarnya tidak dicipta untuk bekerjasama. Ruang eskalator yang sempit tidak sesuai untuk membawa stroller. Malah, roda stroller juga mudah tersangkut pada bahagian sisi eskalator. Ibu atau bapa yang memegang stroller bersama bayi di dalamnya juga lebih mudah hilang imbangan kerana tangannya tidak memegang rel tangan eskalator. Sekiranya tiada pilihan, keluarkan anak anda dari stroller dan lipat stroller tersebut. Minta tolong anggota keluarga atau sesiapa bawakan stroller itu dan dukung anak anda ketika menggunakan eskalator.

TIP KESELAMATAN DI ESKALATOR

  • Didik anak menggunakan eskalator dengan cara yang betul sejak awal lagi untuk mengelakkan kemalangan dan mengubah persepsi mereka bahawa ia bukan permainan.
  • Cara yang betul menggunakan eskalator bersama anak ialah dengan memimpin kemas tangan mereka dengan sebelah tangan manakala sebelah lagi tangan anda memegang rel eskalator.
  • Beritahu mereka untuk memastikan kedudukan kaki sentiasa berada di dalam petak kuning.
  • Dukunglah si kecil yang masih tidak mampu atau tidak yakin menggunakan eskalator sendiri, jangan biar mereka berdiri sendiri.
  • Pastikan anak anda tidak berkaki ayam dan jika memakai kasut, pastikan tali kasut mereka terikat kemas.
  • Berikan perhatian ekstra sekiranya anak anda memakai kasut jenis bermuncung lembut kerana muncung hadapan kasut jenis ini berisiko tinggi untuk tersepit di celah eskalator.
  • Pastikan anda menunjukkan contoh yang baik kepada si kecil dengan sikap berhati-hati semasa menggunakan eskalator.
  • Ajar mereka untuk melangkah masuk dan keluar pada anak tangga dengan cepat ketika menggunakan eskalator.
  • Elakkan duduk lama di penghujung eskalator selepas turun supaya tidak menghalang laluan orang di belakang.
  • Berdiri di tengah-tengah tangga eskalator. Elakkan berdiri di bahagian paling tepi kerana kemalangan sering berlaku terhadap pengguna yang berada di sisi eskalator.
  • Sentiasa memegang tangan kanak-kanak ketika menaiki eskalator dan jangan membenarkan kanak-kanak duduk atau bermain di tangga eskalator.
  • Keluarkan anak anda dari stroller atau troli ketika menaiki eskalator.
  • Sentiasa memandang ke arah hadapan.
  • Perhatikan kedudukan butang kecemasan. Ia mungkin diperlukan untuk menghentikan eskalator jika berlaku sebarang kecemasan.
  • Jangan bersandar di tepi rel tangan eskalator.
 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!