Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

Bayi tersedak susu, ini yang perlu anda lakukan..

Sering kali kita dengar kes bayi tersedak susu dan kebanyakannya berlaku di rumah asuhan mahupun taska. Penjagaan rapi terhadap bayi terutamanya bayi berusia bawah setahun amat diperlukan untuk mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku.

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan keadaan bayi sebelum hantar ke pusat jagaan. Jangan berat mulut untuk memberitahu kondisi bayi jika ada masalah sewaktu menyusu.

Bayi yang kerap mengalami muntah atau batuk ketika minum air dan menyusu tidak boleh dibiarkan berlanjutan serta dipandang remeh. Sebaliknya, perlu dirujuk segera kepada pakar bagi mengenal pasti apakah masalah sebenar yang dialaminya sehingga berlaku keadaan seperti itu.

Menurut Perunding dan Pakar Kanak-kanak, Dr Azam Mohd Nor, kedua-dua keadaan itu biasa berlaku. Ia menunjukkan tanda bahawa bayi berkenaan ada masalah untuk menelan susu yang dihisapnya, sama ada melalui botol atau pun penyusuan ibu.

Jika bayi sukar atau mempunyai masalah untuk menelan susu yang dihisapnya, ia mungkin boleh menyebabkan susu yang mengalir ke dalam mulut bayi akan tersekat pada saluran pernafasan dan menyebabkan bayi lemas sehingga membawa kematian.

Masalah menelan yang tidak betul atau tiada koordinasi dengan mulut boleh menyebabkan bayi yang sedang dalam penyusuan ibu boleh tersedak susu. Paru-paru bayi itu akan dimasuki air dan keadaannya seperti tercekik dan sukar bernafas kerana kekurangan oksigen.

Keadaan ini sama seperti seseorang yang sedang berenang dan kemudiannya lemas di dalam air. Akibat kesukaran bernafas dan tiada oksigen di sekitarnya, seseorang itu boleh maut.

 

Sebab-sebab bayi tersedak susu;

  • Apabila seorang bayi tertidur, ketika menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka.
  • Lubang puting botol yang terlalu besar juga boleh menyebabkan susu akan terus mengalir tanpa henti ketika bayi tertidur.
  • Tabiat ibu bapa yang gemar meletakkan bantal atau kain untuk menyokong botol susu dan meninggalkan bayi keseorangan.
  • Kedudukan bayi semasa minum susu yang salah.

Cara yang BETUL memberi susu kepada bayi;

  • Ketika menyusu, tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya. Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan antara 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.
  • Pastikan juga lubang puting pada botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi (belilah mengikut kesesuaian umur anak).
  • Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.
  • Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan.
  • Selepas menyusu, sendawa kan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur.

 

Cara rawatan jika bayi tersedak susu;

  • Tiarapkan bayi, kemudian tepuk belakang badan beberapa kali sehingga cecair atau bahan makanan yang menyekat saluran pernafasannya keluar.
  • Sekiranya tidak keluar, dalam keadaan duduk menghadap ke hadapan, tekan bahagian dada dengan menggunakan hujung genggaman tangan secara perlahan.
  • Selain menekan bahagian perut, bayi juga boleh dibaringkan. Kemudian tekan dan picit bahagian dada beberapa kali menggunakan kedua-dua ibu jari sehingga bayi dapat bernafas semula.

Walaupun mungkin ada yang merasakan tip ini hanya untuk ibu bapa sahaja, namun ia juga sebenarnya penting untuk sesiapa sahaja. Apabila anda berdepan dengan situasi seperti ini, tip-tip di atas mungkin dapat membantu jika ibu bapa bayi atau orang lain yang berada di sekeliling dalam keadaan panik. Langkah awal yang diambil boleh mengelakkan perkara yang lebih buruk daripada terjadi.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!