Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

Anugerah Pemain Terbaik Lelaki UEFA 2019-20

📷 : Instagram @kevindebruyne

Anugerah Pemain Terbaik Lelaki UEFA 2019-20: De Bruyne, Lewandowski & Neuer tersenarai 3 terbaik

Kevin De Bruyne, Robert Lewandowski dan Manuel Neuer telah dicalonkan untuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki UEFA untuk musim 2019-20.

Pemain Manchester City, Kevin De Bruyne yang memenangi anugerah PFA, dicalonkan bersama dua bintang pasukan Bayern Munich. Ketiga-tiga calon pemenang anugerah itu juga belum pernah memenangi sebarang Anugerah Pemain Terbaik Lelaki UEFA sebelum ini.

Bintang Manchester City itu telah menjaringkan 13 gol, selain 20 assist untuk pasukan yang berpangkalan di England pada kejohanan Liga Perdana Inggeris musim lepas.

Neuer pula hanya tidak beraksi dalam satu perlawanan sahaja bersama pasukan Bayern, selain merekodkan enam clean sheet dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah. Sementara Lewandowski berjaya mencetak 55 gol dalam 47 penampilan bersama pasukan bimbingan Hans-Dieter Flick.

Walaupun urutan tiga pemain terbaik lelaki UEFA belum diketahui, namun UEFA telah mengumumkan kedudukan ke-4 hingga ke-10 secara rasmi.

Lionel Messi (ke-4), Neymar (ke-5), Thomas Muller (ke-6), Kylian Mbappe (ke-7), Thiago Alcantara (ke-8), Joshua Kimmich (ke-9) dan Cristiano Ronaldo (ke-10).

Cristiano Ronaldo telah memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2011, manakala Messi hanya memenanginya sebanyak dua kali.

Anugerah yang diundi oleh jurulatih dan wartawan ini juga pernah dimenangi oleh Andres Iniesta, Franck Ribery, Luka Modric dan Van Dijk.

Ketua jurulatih Bayern, Hans-Dieter Flick, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp serta pengurus RB Leipzig, Julian Nagelsmann, juga disenaraikan untuk memenangi anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik UEFA kali ini.

Keputusan pemenang untuk anugerah ini akan diumumkan semasa majlis undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah pada 1 Oktober 2020.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!