Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

9 watak adiwira popular yang berasal dari Malaysia

Generasi hari ini lebih mengenali watak-watak adiwira dari negara barat seperti Avengers, X-Men, Batman dan Superman. Manakala adiwira yang berasal dari Asia kebanyakannya berasal dari negara Jepun, seperti Son Goku (Dragon Ball), Saitama (One-Punch Man) dan Kamen Rider.

Tetapi tahukah anda bahawa Malaysia juga pernah memiliki adiwira yang tidak kurang hebatnya. Jom kita lihat senarai 8 watak adiwira popular yang pernah muncul dalam filem serta televisyen, dan berasal dari Malaysia.

  1. Cicak-Man

    Hairi Yatim (Saiful Apek), adalah seorang yang gagal dan tinggal di kota Metrofulus. Semasa bekerja di makmal, dia secara tidak sengaja telah minum kopi  yang tercemar oleh cicak yang telah dijangkiti virus. Setelah itu, dia telah memperolehi kebolehan seperti cicak, dengan melekat pada dinding, serta boleh mengeluarkan lidah yang panjang.
  2. Keluang Man
    Adiwira Malaysia

    Keluang Man merupakan siri animasi televisyen yang pernah popular antara tahun 1996 hingga 1998. Mengisahkan mengenai seorang pemuda bernama Borhan yang merupakan seorang pesakit di Hospital Bahagia Tampoi. Rakannya Samad, membantunya sebagai Tiong Man untuk menumpaskan musuh negara kerana pihak polis kawasan Tampoi yang diketuai Inspektor Sahab, seringkali terlambat untuk sampai ke tempat kejadian. Ia turut diserikan dengan watak Khaty Ismail, seorang wartawan akhbar Metropolitan Tampoi  yang sering cuba menjejaki identiti mereka berdua.
  3. Badang

    Mengisahkan seorang pelajar kolej lelaki, lakonan Datuk Seri Aliff Syukri yang sering dibuli oleh rakan-rakan kerana sifat lembutnya. Namun dia secara tiba-tiba telah mendapat satu kuasa yang luar biasa. Selepas itu, ibunya pula meninggal dunia akibat dilanggar oleh penjenayah. Dengan kuasa luar biasanya, dia mula mencari dalang yang bertanggungjawab terhadap kematian ibunya.
  4. Chempiang

    Watak Chempiang ini muncul di kaca televisyen, setelah popular di salah sebuah komik tempatan. Siri televisyen ini dilakonkan oleh Noor Aminuddin, Sasha Saidin dan Abon.
  5. Pepaya

    Mengisahkan tentang seorang petani yang mengusahakan sebuah kebun betik peninggalan arwah ayahnya.Walaupun Pak Paya seorang yang jujur, ikhlas dan mempunyai sikap bertanggungjawab, namun dia seorang yang lurus bendul. Pak Paya masih bujang dan tinggal bersama ibunya yang dikenali sebagai Mak Jah. Dia juga mempunyai seorang teman karib bernama Eton.
  6. Supermak

    Mengisahkan tentang seorang ibu dan surirumah sepenuh masa, Amy Salim yang mempunyai kekuatan dan kelajuan seorang adiwira. Keistimewaan dan kuasa ini diwarisi dari keturunannya, iaitu dari nenek moyang Amy yang berasal dari kepulauan Riau. Lima suku dari kepulauan tersebut di terajui oleh moyangnya yang bernama Thani. Menurut sejarah dan latar belakang keturunannya, Thani telah menyelamatkan hidup seekor burung mitos yang dipanggil garuda. Kisah bermula apabila burung garuda itu terkena panah, lalu cedera dan terus rebah ke tanah. Lebih merumitkan, panah itu dibuat dari sejenis kayu yang sukar di cari. Setelah diselamatkan oleh Thani, burung garuda tersebut berubah rupa menjadi seorang wanita jelita. Demi membalas jasa, wanita tersebut menganugerahkan lima kuasa sakti yang berlainan kepada Thani dan empat suku yang lain. Wanita itu turut menghadiahkan sebuah pingat yang unik kepada Thani yang boleh digunakan untuk menyeru semula burung garuda mitos yang sangat berkuasa dan mampu menakluk dunia.
  7. Boboiboy

    Boboiboy terbitan Animonsta Studios merupakan siri animasi yang popular di kaca televisyen, sebelum ia dibawa dalam bentuk filem. Siri ini mengisahkan seorang budak berumur 11 tahun bernama Boboiboy, bersama rakan-rakannya membentuk satu pasukan untuk menewaskan makhluk jahat yang cuba menakluki bumi.
  8. Ultraman Ribut

    Ultraman Ribut muncul buat pertama kali dalam siri kartun Upin & Ipin. Kolaborasi khas antara Tsubaraya Productions Co Ltd dengan Les’ Copaque Production ini juga menyelitkan identiti Melayu, apabila Ultraman Ribut berlawan dengan menggunakan aksi silat.
  9. Green Samurai Ranger (Power Rangers Ninja Storm)

    Walaupun Power Rangers Ninja Storm tiada kena mengena dengan sebarang penerbitan dari Malaysia, tetapi pelakon yang memegang watak Cameron Watanabe dan Green Samurai Ranger dalam siri tersebut telah dilakonkan oleh pelakon kelahiran Malaysia. Jason Keng-Kwin Chan yang memegang watak tersebut dilahirkan di Kuala Lumpur, sebelum berpindah ke Perth, Australia bersama keluarganya ketika berusia 5 tahun. Jason yang pernah memasuki sekolah perubatan di University of Western Australia, turut mempelajari seni kreatif, seperti balet, tarian kontemporari, dan tarian jazz di Western Australian Academy of Performing Arts. Setelah menamatkan pengajian, Jason muncul sebegai pengacara untuk rancangan Disney Channel’s: Playhouse Disney yang ditayangkan di seluruh Australia, sebelum mendapat tawaran untuk berlakon dalam siri televisyen Power Rangers Ninja Storm.

Baca artikel: Senarai jenama besar yang dimiliki oleh Disney

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!