Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

7 cara yang betul ketika bercakap dengan anak

Lain anak, lain ragamnya. Ada anak yang pendiam, dan ada juga anak yang petah dan banyak bercakap. Yang petah pun boleh jadi kurang bercakap. Kadang-kadang, kita tidak tahu apa puncanya. Jom lihat bagaimana untuk merangsang si kecil bercakap dengan cara paling efektif.

1. Jangan tergesa-gesa
Bersabar dengar kerenah anak yang lambat untuk menghabiskan sesuatu ayat. Seeloknya tunggu beberapa saat selepas anak selesai bercakap sebelum anda mulakan bicara. Cakap perlahan-lahan dengan intonasi yang relaks. Ia lebih efektif daripada terus mengkritik anak tanpa mengetahui puncanya. Sergahan seperti “Perlahan sikit!”, “Cuba sekali lagi!” tidak akan membantunya.

2. Biarkan anak bercakap secara bebas
Bebas bukan bermakna boleh cakap sesuka hati. Perkataan larangan dan tidak elok seperti mencarut, jangan sesekali terpacul dari mulut ibu bapa. Anak akan ikut apa yang keluar dari mulut ibu bapa mereka. Bebas bermakna berikan anak-anak kebebasan untuk menterjemah idea sendiri dan meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati. Ibu-bapa jangan terlalu memaksa anak menjawab soalan yang ditanya pada masa itu juga.

3. Mimik muka dan bahasa badan
Bagaimana si kecil hendak tahu bahawa ibu bapa mereka betul-betul mendengar cerita mereka? Tentulah dengan mimik muka dan bahasa badan yang tidak dibuat-buat. Elakkan dari mengangguk-angguk sahaja sambil memegang telefon bimbit dan melayari Facebook. Dengar apa mesej yang anak mahu sampaikan dengan mendengar cerita mereka sepenuh hati.

4. Berikan perhatian yang penuh
Setiap hari, anda perlu berikan perhatian kepada anak selama minimum 10 minit. Meskipun penat bekerja dan inginkan rehat, namun anda harus memberikan perhatian pada anak-anak yang ingin bermesra dengan anda. Biarkan anak bercakap dengan penuh semangat dan merasakan anda terhibur dengan mereka. Apabila anak berasa selesa, barulah mereka akan mula bercakap banyak dengan ibu-bapa mereka sendiri.

5. Ambil giliran untuk bercakap
Apabila ada anak yang ramai, kita sebagai ibu-bapa pasti akan berasa runsing apabila masing-masing mahu bercakap. Apabila seorang dilayan dan seorang lagi tidak, pasti ada yang akan merajuk. Anak-anak suka berkongsi, dengar dari kedua-duanya sekali pada satu-satu masa tetapi mestilah bercakap secara bergilir. Ia kedengaran seperti lucu tetapi meriah!

6. Kawal cara percakapan dengan anak
Ingat kembali sewaktu anda memberi arahan, adakah anak-anak akan benar-benar mendengar? Jika tidak pasti, ada cara percakapan anda yang tidak disenangi anak. Oleh itu, kurangkan kritikan, persoalan dan paksaan untuk anak. Gunakan bahasa mudah yang mereka suka dan mahu dengar.

7. Terima anak seadanya
Apa-apa pun, terima anak kita seadanya. Berikan sokongan penuh pada mereka dalam apa jua minat dan hobinya. Sebagai ibu-bapa, kitalah yang perlu menyokong dan memberi semangat kepada mereka dalam segala hal.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!