Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

6 tip penting bercuti bersama anak

Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, pastinya agak leceh untuk membawa mereka bercuti. Maklumlah karenah anak-anak pastinya lebih banyak memeningkan kepala. Walau bagaimanapun, ia bukan alasan untuk melupakan masa-masa yang indah bersama keluarga. Percutian jauh dari tempat tinggal kita lebih memberi kesan relaks berbanding hanya bercuti dengan berehat di rumah. Pemandangan yang lain, pengalaman yang baru, pasti lebih memberi kepuasan.

Jika anda mengetahui tip yang betul tatkala bercuti bersama keluarga termasuk anak-anak, ia pasti meninggalkan kenangan terindah dan pengalaman paling bermakna untuk anda.

Perancangan yang betul ketika membawa keluarga dan anak-anak bercuti pasti meninggalkan kenangan manis buat anda.

Tip kali ini mungkin dapat membantu, sekali gus merealisasikan impian anda untuk bercuti bersama anak-anak dengan lebih selesa;

1. CUKUP TABUNGAN
Bercuti bersama anak-anak menuntut lebih banyak keperluan kewangan daripada bercuti seorang diri atau berdua sahaja. Kita mungkin boleh bertoleransi atas beberapa perkara, namun untuk anak-anak kecil, ada perkara yang mereka tidak boleh bertoleransi. Misalnya jika berlaku kecemasan, contohnya anak sakit, maka kita perlu menghantarnya ke hospital, meskipun berada di mana saja sahaja. Bagi memudahkan dan memberi ketenangan hati, pastikan tabungan bukan ‘cukup-cukup’, tapi ada juga bahagian untuk kecemasan.

2. PERSEDIAAN BERCUTI
Biar anak-anak mengemas barang yang dibawa mereka. Bagi tahu apa yang perlu dibawa dan biarkan mereka memilih pakaian yang mereka suka. Jangan lupa bawa mainan yang disukai anak-anak. Masukkan beberapa manisan seperti gula-gula dan coklat, tuala kecil, tisu, buku cerita serta kertas dan alat tulis di dalam beg yang akan dijinjing. Jangan lupa memperbaharui imunisasi seperti vaksin hepatitis B, hepatitis A, dan apa-apa vaksin untuk seluruh anggota keluarga. Jika bercuti di luar negara, cari maklumat mengenai vaksin tambahan untuk daerah tujuan tersebut.

3. KENDERAAN YANG SELESA
Bagi percutian dalam negara, sekiranya anda ingin memandu, dan jika kenderaan anda tidak cukup besar, sewalah kenderaan yang lebih besar dan selesa, misalnya MPV. Kenderaan yang besar pasti selesa untuk keluarga yang beranak kecil, kerana anak-anak dapat berehat dalam perjalanan. Ruang yang lebih besar boleh membantu menenangkan mereka.

4. RANCANG PERCUTIAN
Pastikan jadual sepanjang percutian anda bersama anak-anak lebih santai dan mempunyai banyak masa yang terluang. Jangan buat jadual percutian yang terlalu padat kerana ia akan membuatkan anak-anak keletihan sekali gus membuatkan mereka meragam. Jika ahli keluarga yang lain mengikuti rombongan anda, pastikan mereka menyimpan maklumat mengenai hotel dan nombor telefon yang akan dihubungi ketika kecemasan. Ketika berjalan beramai-ramai di satu-satu lokasi, pastikan anda menetapkan masa dan satu sudut yang sesuai untuk berkumpul dan apabila anda berpecah.

5. KAWAL KESELAMATAN ANAK
Pastikan anak-anak tidak bermain di dalam bilik mandi yang sememangnya luas dan cantik di bilik hotel. Pastikan lantai bilik air tidak basah kerana takut anak-anak atau anda tergelincir. Ketika anda berehat, pastikan tingkap tidak dibuka dan pintu dikunci. Kanak-kanak sememangnya sangat menyukai aktiviti mandi-manda di kolam renang. Justeru, jangan biarkan mereka berenang tanpa pengawasan dari orang dewasa terutama anda.

6. BAWA UBAT-UBATAN
Bawalah topi yang lebih lebar dan pelembap untuk melindungi kulit anak-anak dari sinaran matahari. Bawa juga ubat-ubatan yang diperlukan. Jangan lupa simpan nombor doktor keluarga yang boleh dihubungi ketika kecemasan walaupun anda bercuti di luar negara. Untuk mencegah penyakit yang disebabkan air yang tercemar, minumlah hanya air mineral dan gunakan air yang sudah di masak untuk membuat susu anak anda atau jus.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!