Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

syarikat yang hampir muflis

5 syarikat antarabangsa yang pernah hampir muflis

Pernahkah anda terfikir bagaimana sesebuah syarikat mampu bertahan lama? Malahan sebuah majalah popular dan paling tua di Malaysia, iaitu majalah Mastika juga telah gulung tikar pada tahun 2018.

Tetapi tahukah anda bahawa banyak syarikat gergasi di peringkat antarabangsa juga pernah mengalami nasib yang hampir sama seperti majalah Mastika? Berkat daripada tuah dan strategi yang tepat, mereka berjaya memulihkan syarikat mereka. Jom kita lihat senarai 5 syarikat antarabangsa yang pernah hampir muflis;

syarikat yang hampir muflis
Lego
Lego ialah sejenis permainan yang pernah dimiliki oleh hampir semua kanak-kanak di seluruh dunia. Tetapi pada penghujung 90-an, syarikat ini mengalami masalah yang sangat serius. Seorang CEO baharu telah dilantik, dan dia membuat keputusan bijak dengan bekerjasama dengan George Lucas untuk mengeluarkan set Lego Star Wars dan Indiana Jones. Kemudian Lego terus melakukan perkara yang sama dengan beberapa filem lain, selain membuat beberapa filem berdasarkan Lego itu sendiri. Kini syarikat Lego terus berada dalam keadaan yang baik.


BMW

Perkara ini sudah lama berlaku, jadi tidak pelik jika anda tidak mengetahui syarikat pengeluar kereta ini pernah hampir muflis. Pada 1940-an, BMW dikenali sebagai pengeluar kereta mampu milik. Tetapi pada tahun 1948, mereka telah membuat keputusan mengejut untuk menumpukan kepada pengeluaran kereta mewah sahaja. Kemasukan Herbert Quandt ke dalam syarikat itu juga telah banyak membantu untuk mengelakkan BMW daripada muflis.


FedEx

Penghantaran barang melalui kapal terbang adalah perkara yang biasa pada hari ini. Ketika FedEx mula menjadikan kapal terbang sebagai salah satu strategi perniagaan mereka, syarikat kurier lain masih menggunakan lori dan kuda sebagai alat pengangkutan untuk menghantar barang. Namun pada pertengahan tahun 1970-an, harga minyak meningkat secara mendadak hingga menyebabkan syarikat FedEx berada dalam masalah. Tetapi apa yang dilakukan oleh Frederick Smith yang merupakan pengasas syarikat itu? Dia telah pergi ke Las Vegas dan mempertaruhkan semua wangnya dalam permainan Blackjack. Tuah telah berpihak kepadanya, dan dia mampu untuk terus membeli minyak untuk kapal terbangnya, selain memberikannya waktu untuk memohon pinjaman bank. Kini syarikat FedEx terus menjadi sebuah syarikat kurier gergasi yang bernilai billion ringgit.


Disney

Disney pernah hampir muflis sebanyak dua kali. Pertama kali adalah pada tahun 1920 apabila syarikat kewangan yang menguruskan Disney muflis. Manakala kali kedua adalah pada tahun 1937, apabila kos membuat filem ‘Snow White and the Seven Dwarfs’ menjadi terlalu tinggi. Perkara ini telah memaksa Walt Disney atau nama sebenarnya Walter Elias Disney mengeluarkan wangnya sendiri sebanyak $1.5 juta, selain membuat pinjaman bank untuk menyiapkan projek tersebut. Akhirnya filem ini berjaya mendapatkan keuntungan besar sebanyak $8 juta, dan menjadikan syarikat Disney terus bertahan sehingga hari ini.


Apple

Syarikat Apple berjaya membuatkan anda berasa bangga untuk menggunakan iPhone dan MacBook pada hari ini. Tetapi pada tahun 1997, syarikat yang terkenal dengan menjual alat peranti pada harga mahal ini pernah hampir muflis. Jika tidak kerana bantuan sebanyak $150 juta daripada pesaingnya sendiri iaitu Bill Gates, Apple mungkin hanyalah sebuah sejarah pada hari ini. Namun Bill Gates masih lagi mendapat keuntungan yang agak baik daripada pelaburan tersebut.

Baca artikel: 5 perkara yang perlu dilakukan sebelum berhenti kerja

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!