Lagenda Press

No Guts, No Glory. No Legend, No Story.

Pelancongan agro di Selangor

📷 : Facebook @FRIMKepong

5 destinasi pelancongan agro yang menarik di Selangor

Pelancongan agro kini semakin membangun dan memberikan kesan yang baik dalam industri pelancongan tempatan. Di negeri Selangor, terdapat banyak taman agro yang boleh dikunjungi dan para pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Berikut disenaraikan 5 destinasi pelancongan agro terbaik yang boleh dilawati di negeri Selangor selepas PKPB berakhir:

MAEPS Agro Tourism Park, Serdang

Pelancongan agro di Selangor
📷 : www.maeps.com.my

MAEPS Agro Tourism Park merupakan taman agro yang sesuai untuk seisi keluarga menikmati keindahan alam semula jadi. MAEPS, Serdang menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman di kawasan perladangan dan pertanian. Antaranya ialah House of Kambing yang menempatkan haiwan seperti kambing dan menawarkan menu makanan nasi kukus kambing bakar. Selain itu, terdapat juga pelbagai taman pertanian yang membolehkan pengunjung menimba ilmu seperti laman herba, laman padi, laman nenas, laman perikanan dan G2G Animal Garden, di mana para pengunjung boleh bermesra dan memberi makanan kepada haiwan. Nafas Cube yang berkonsepkan binaan kabin dan tiub pula memboleh pengunjung untuk menginap di MAEPS.

Taman Botani Negara, Shah Alam

📷 : www.tbnsa.gov.my

Taman Botani Negara ialah taman pelancongan agro yang dibangunkan untuk tujuan riadah serta penyelidikan. Dengan menampilkan pemandangan alam semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan, taman ini juga mempunyai tarikan istimewa khas buat pengunjung, iaitu Rumah Iklim Empat Musim yang membolehkan pengunjung akan merasai cuaca musim salji, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Namun rumah empat musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada suku pertama tahun 2021. Selain itu, Taman Botani Negara juga terdapat taman kaktus, orkid, rempah-ratus, buah-buahan dan taman haiwan.

Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor

📷 : Facebook @selangorfruitsvalley

Jika anda merancang untuk bercuti di taman buah-buahan, Selangor Fruit Valley merupakan destinasi yang tepat untuk anda. Taman ini mempunyai pelbagai jenis ladang buah-buahan tempatan, dan membolehkan anda menikmati buah-buahan tersebut. Bukan itu sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti lain yang disediakan seperti petting zoo mini, aktiviti berkayak, ladang rusa, rumah tradisional dan ternakan madu kelulut. Selain itu, terdapat kemudahan trem yang boleh dinaiki dan anda akan dibawa ke sekitar kawasan taman ini sambil menghirup udara segar. Anda juga boleh singgah ke gerai menjual air kelapa untuk beristirahat dan menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa yang segar.

Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong

📷 : Facebook @FRIMKepong

Dengan keluasan 600 hektar, Forest Research Institute Malaysia (FRIM) dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung. Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, selain boleh melakukan aktiviti seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, hiking, berbasikal, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, sambil berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi. Antara tanaman menarik yang terdapat di FRIM adalah seperti Rubiaceae (famili kopi), Fabaceace (famili kacang), Euphorbiaceae (famili getah), pokok Keladan yang berumur 116 tahun, pokok Melaka dan banyak lagi.

Kuan Wellness Eco Park, Kuala Langat

📷 : kuanwellness.com

Kuan Wellness Eco Park merupakan salah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati di negeri Selangor. Pengunjung dapat menikmati persekitaran taman yang segar dengan tema pelancongan ekologi semula jadi, selain pelbagai aktiviti yang disediakan di taman ini. Jika melawat ke sini, antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah memberi makanan kepada haiwan di mini zoo seperti arnab, itik dan burung. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke ladang buah tropika, dan menyaksikan aktiviti pemprosesan sarang burung untuk dijadikan produk kesihatan, selain keindahan landskap yang menarik untuk bergambar.

Akhir kata, negeri Selangor sememangnya mempunyai banyak destinasi pelancongan agro yang menarik untuk dikunjungi. Dalam menikmati percutian anda ke tempat-tempat pelancongan agro seperti yang telah dicadangkan oleh pihak Tourism Selangor, jangan lupa untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa menjaga penjarakan sejauh 1 meter antara satu sama lain bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19 daripada terus menular.

**Setiap lokasi mempunyai harga bayaran dan waktu operasi. Semak harga dan waktu sebelum berkunjung ke destinasi pelancongan agro tersebut.

Baca artikel: 5 destinasi paling unik di dunia

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!