Selangor International Indigenous Arts Festival 2019 pamerkan khazanah warisan kaum orang asal

Selangor International Indigenous Arts Festival 2019

Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor, dengan usahasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menganjurkan Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 pada 3 dan 4 Ogos 2019, bertempat di Taman Botani Negara, Shah Alam.

Edisi tahun ini kembali lagi dengan skala yang lebih besar. Saban tahun, Tourism Selangor mengambil inisiatif untuk mengangkat karya seni Orang Asal dalam satu acara khusus yang menghubungkan warga kota dengan kaum Orang Asal dari Malaysia dan luar negara, dan juga memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dan mempelajari dengan lebih dekat budaya hidup dan kelangsungan kaum Orang Asal, khususnya dari Malaysia.

Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019

Selangor International Indigenous Arts Festival 2019

SIIAF 2019 adalah salah satu inisiatif untuk mengetengahkan dan memelihara permata Negeri Selangor iaitu kaum Orang Asal yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan asli mereka, walaupun di era teknologi moden. SIIAF 2019 merupakan antara medan terbaik untuk menjenamakan Negeri Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan kebudayaan pilihan pelancong dari dalam, mahupun luar negara.

Acara ini sering kali menarik perhatian media asing kerana keunikan temanya yang mengangkat khazanah warisan Negara, khususnya dari Negeri Selangor.

Acara yang akan berlangsung selama dua hari ini dilaksanakan bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang Asal Dunia yang jatuh pada bulan Ogos setiap tahun. Acara tahun ini menandakan edisi kelimanya sejak mula diperkenal.

Recreational Orang Asal Run (ROAR) 2019

Edisi tahun ini menambah kelainan dengan memperkenalkan Recreational Orang Asal Run (ROAR) 2019 yang akan berlangsung pada 4 Ogos 2019, di lokasi yang sama.

Pendaftaran untuk ROAR2019 masih dibuka sehingga 12 Julai ini, di pautan http://www.heyjom.com/imgs/edm/roar/. Kedua-dua acara yang direncana adalah hasil usahasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selaras dengan Kempen Melawat Malaysia 2020, dan senarai aktiviti yang telah diatur dan informasi lanjut tentang kempen ini boleh didapati di SIIAF 2019.

Selangor International Indigenous Arts Festival 2019 mempamerkan khazanah warisan kaum Orang Asal melalui persembahan tarian kebudayaan tradisional yang dipersembahkan khas oleh kaum Mah Meri dan Temuan dari Negeri Selangor, kaum Semai dari Perak, kaum Seletar dari Johor, dan Kaum Borneo Sabah dan Sarawak. Dan yang pastinya, kaum Mah Meri akan mempersembahkan Tarian Topeng mereka yang terkenal dan memukau.

Apa yang lebih menarik, acara tahun ini turut disertai oleh Orang Asal dari negara Sepanyol, Indonesia, Sri Lanka, Taiwan dan Korea Selatan yang bukan sahaja membolehkan warga kota dan pelancong luar negara untuk mempelajari dan melihat dengan lebih dekat adat, budaya, pakaian tradisional, karya seni, kraf, dan bahasa mereka, selain dapat melihat mereka beraksi secara langsung di depan mata!

Perkampungan Seni Kraftangan dan Perkampungan Tradisi

Pengunjung SIIAF 2019 juga akan dapat merasai pengalaman yang lebih berkesan bila mana pihak penganjur akan membawa khas dua perkampungan Orang Asal iaitu Perkampungan Seni Kraftangan dan Perkampungan Tradisi ke lokasi acara. Bukan itu sahaja, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi menganyam dan menyumpit, serta mengambil bahagian dalam permainan Kercang, iaitu permainan tradisi Orang Asal dari Endau, Rompin.

Jika pengunjung ingin mencuba sendiri pengalaman menggunakan sumpit, menyelesaikan permainan dari rotan, atau menganyam sebahagian tempat berteduh dari daun bertam, mereka boleh mendaftar untuk bengkel Jungle School Lesson yang dikendalikan oleh Raman Bahtuin, pesara dari kaum Semai.

Bagi mereka yang berjiwa seni, boleh juga mengikuti bengkel lakaran lukisan ekslusif yang dikendalikan oleh seorang pelukis kontemporari dari kaum Temuan di Selangor, Shaq Koyok yang mempunyai kelompok peminat tersendiri. Bengkel yang dibawakan khas oleh LokaLocal ini akan mengambil masa selama dua jam dan diadakan pada kedua-dua hari acara SIIAF.

Traditional Indigenous Food Exhibition

Selain itu, para pengunjung juga dapat menikmati pelbagai pilihan makanan tradisional dari Orang Asal Malaysia dan antarabangsa menerusi Traditional Indigenous Food Exhibition yang dibawakan oleh Malaysia Orang Asli Development Association (MOADA). Zon Trak Makanan dan Fama Fruit Fiesta juga menanti penggemar buah-buahan dan pengunjung dengan selera yang lebih moden.

Jangan risau, setelah menikmati pelbagai jenis makanan, pengunjung boleh mengambil Ujian Pemeriksaan Kesihatan percuma yang dibawakan oleh Columbia Asia.

A Photo Gallery Exhibition: Thousand Faces of the Indigenous

Terdapat pameran yang menampilkan galeri foto Orang Asal dari Malaysia dan negara dunia yang lain yang dinamakan A Photo Gallery Exhibition: Thousand Faces of the Indigenous. Pengunjung juga boleh menyusuri Borneo Street Market yang dibawakan oleh Sabah Sarawak KL Heritage Association untuk mendapatkan karya seni dan kraftangan yang dihasilkan oleh kaum Orang Asal seperti corak lukisan pada kain, aksesori wanita, dan juga lukisan yang mempersona.

SIAFF 2019 tidak hanya sesuai untuk golongan dewasa, malahan kanak-kanak juga berpeluang untuk mempelajari dan mendapat pendedahan tentang kaum Orang Asal dalam nuansa yang santai dan meriah. Apatah lagi, maskot Captain Quack dan Lady Quack dari Sunway Lagoon pasti akan mencuit hati mereka.

Miss Cosmopolitan World 2018/2019

Soyeon Lim

Tidak hanya itu, kanak-kanak dan wanita yang meminati pertandingan ratu cantik boleh memperoleh inspirasi dari sesi ramah-mesra bersama Miss Cosmopolitan World 2018/2019, Soyeon Lim dari Korea. Pertandingan Fotografi dan Videografi juga menanti pengunjung yang kreatif dengan seleksi hadiah menarik untuk dimenangi!

Selangor International Indigenous Arts Festival 2019 mengangkat kebudayaan dan kesenian Orang Asal dan memberi peluang kepada warga kota dan pelancong luar negara untuk meneroka keunikan mereka tanpa perlu menjelajah ke luar bandar.

Justeru tidak hairanlah, pesta ini seringkali menarik sejumlah besar pengunjung saban tahun, di mana tahun 2018 merekodkan jumlah pengunjung seramai 7000 orang. Untuk edisi kali ini, penganjur mensasarkan peningkatan sebanyak 10,000 pengunjung akan memeriahkan acara SIIIAF 2019 ini.

Baca artikel: Kenali 5,000 jenis habitat laut di AquariaKLCC

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!