Selamatkah katil bayi anda?

Selamatkah katil bayi anda?

Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik buat permata hatinya. Ada yang sanggup berbelanja besar demi keselesaan si kecil meskipun harganya mahal. Namun tetap ada yang sanggup membeli katil yang tiada ciri-ciri keselematan, asalkan ia nampak cantik dan utuh di mata kerana bagi mereka itu sudah memadai.

Ibu bapa sepatutnya bertanggungjawab untuk meneliti dan menilai terlebih dahulu sesuatu produk sebelum membeli apa-apa barangan keperluan bayi. Pastikan ia dijamin selamat untuk digunakan serta memudahkan uruskan dan jangan membeli mengikut nafsu semata-mata.

Menurut Persatuan Pediatrik Malaysia, tempat yang paling selamat bagi bayi untuk tidur ialah di dalam katil bayi yang diiktiraf. Buaian kain atau sarung tidak selamat kerana ia meningkatkan risiko kemungkinan bayi akan terjatuh keluar dan menyebabkan kecederaan. Selain itu, kedudukan katil bayi juga haruslah berada di tempat yang selamat.

Selamatkah katil bayi anda?

Info penting berkaitan katil bayi

  1. Pastikan katil bayi tidak memiliki pintu tarik kerana dikhuatiri bayi mampu menarik bahagian itu hingga terbuka. Pilihlah pintu katil yang bergeser atau naik dan turun dengan sistem kunci daripada besi yang kuat dan tahan lama.
  2. Pilih katil bayi daripada bahan keluli tahan karat (stainless steel) dan bukan besi. Katil bayi daripada bahan besi akan berkarat dan berbahaya jika digigit oleh bayi anda. Katil jenis stainless steel juga lebih kuat dan tahan sehingga bertahun-tahun lamanya. Pemilihan katil yang betul juga akan menghindarkan bayi anda dari terluka akibat terkena besi yang tertanggal.
  3. Beli katil yang sesuai dengan usia bayi anda. Pemilihan katil yang terlalu besar hanya akan membazirkan penggunaan ruang. Antara jenis katil bayi yang selamat digunakan adalah katil kayu berpalang, katil mudah alih (playpen), katil bayi berkelambu, katil bayi berlaci dan sebagainya.
  4. Skru, selak dan kancing yang terdapat pada katil mesti dipasang dengan kemas dan betul supaya katil bayi tidak roboh.
  5. Pastikan tiada bucu yang tajam atau skru, selak dan kancing yang terdedah sehingga boleh melukakan bayi atau menyentap pakaian dan menyebabkan bayi tercekik atau mengalami kecederaan.
  6. Tilam haruslah bersesuaian dengan saiz katil. Pastikan ruang kosong di antara tilam dan bahagian tepi katil bayi tidak melebihi dua jari.
  7. Letakkan alas lembut di keliling katil bayi dan ikat dengan selamat supaya ia ketat dan tidak mudah tertanggal.
  8. Pastikan katil bayi mempunyai cat dan kemasan yang tidak merbahaya serta tahan lama.
  9. Jangan guna alas tilam plastik kerana ia boleh melekat pada bahagian muka dan menyebabkan bayi lemas.
  10. Jangan letakkan katil bayi berdekatan dengan tingkap, langsir, lampu, wayar dan peralatan elektrik (seperti kipas) atau lain-lain perabot yang boleh digunakan untuk kanak-kanak memanjat keluar.

Selamatkah katil bayi anda?

Patuhi ukuran katil berikut:

  1. Ruang antara palang-palang katil bayi
    ► Tidak lebih dari enam sentimeter. Jika ruang terlalu besar, bayi mungkin terbolos dan tersangkut di antara palang.
  2. Palang atas katil bayi yang boleh diubah tahap ketinggian
    ► Apabila anda menaikkan palang ini sepenuhnya, ia mestilah berukuran 65 sentimeter daripada bahagian bawah tilam bagi mengelakkan bayi dari terjatuh.
    ► Apabila palang diturunkan, ia mestilah berukuran sekurang-kurangnya 23 sentimeter daripada bahagian bawah tilam.
  3. Ketinggian katil bayi
    ► Semua katil bayi mempunyai dua atau tiga ketinggian yang boleh diubahsuai.
    ► Mulakan dengan bahagian asas tilam di kedudukan paling tinggi dan rendahkan apabila bayi mula membesar.
    ► Di aras tertinggi, pastikan ukuran daripada bahagian atas tilam ke palang atas katil bayi tidak kurang dari 30 sentimeter.

Baca artikel: Bayi tersedak susu, ini yang perlu anda lakukan..

Selamatkah katil bayi anda?

Panduan mengendalikan katil mudah alih (Playpen)

  1. Pastikan papan untuk meletakkan tilam boleh dinaikkan dan diturunkan. Kebanyakan katil mudah alih memiliki dua tahap ketinggian.
    ● Tahap pertama; untuk anak berusia setahun ke bawah, katil mestilah dilaraskan ketinggian pada tahap yang tinggi supaya mudah diperhatikan oleh ibu bapa.
    ● Tahap kedua; untuk anak setahun dan ke atas, katil perlu dilaraskan ke tahap yang lebih rendah kerana kemungkinan anak akan terjatuh akibat terlalu lasak ketika tidur.
  2. Pastikan katil anak memiliki tayar supaya mudah untuk dialihkan.
  3. Pastikan tayar selalu dikunci supaya katil tidak bergerak sebagai langkah keselematan.
  4. Pastikan katil bayi tidak diletakkan di tepi tingkap, berhampiran suis elektrik, pemanas serta langsir kerana ia boleh mengundang bahaya.
  5. Jangan gunakan bantal untuk bayi berumur setahun ke bawah.
  6. Pastikan katil yang dibeli mendapat kelulusan pihak keselamatan.
  7. Jika anak anda sudah semakin besar dan tidak muat untuk berada dalam playpen tersebut, lipat dan simpankannya di tempat yang selamat.
 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!