R U Tough Enough 2019: Kembali mencari insan paling gagah di Asia Tenggara!

R U Tough Enough 2019

R U Tough Enough 2019 kembali dengan menyeru semua rakyat Malaysia untuk membuktikan mereka adalah yang paling gagah di Asia Tenggara! Pertandingan tahunan ini yang dibawa oleh KIX HD (Saluran Astro 729) dengan kerjasama Fisherman’s Friend akan lebih hebat dan mencabar daripada edisi lalu. Hadiah utama bernilai sebanyak US$15,000 (RM60,000) menanti pemenang serantau yang akan dinobatkan sebagai ‘Southeast Asia’s Toughest 2019’!

“R U Tough Enough Southeast Asia tahun ini membawa maksud baharu untuk kekuatan yang sebenar. Ia kerana kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi kerana juara R U Tough Enough yang sebenar juga memerlukan keinginan yang mendalam bagi mengharungi rintangan, serta jiwa seorang juara serta determinasi dan kesungguhan yang mendorong mereka meneruskan cabaran hingga ke akhirnya,” kata Annie Chan, Pengarah Ekskutif, Jualan Afiliasi dan Pengiklanan, Celestial Tiger Entertainment.

“R U Tough Enough kini membuka cabaran kepada semua negara di Asia Tenggara serta julung kalinya untuk Hong Kong, khusus buat semua individu gagah agar melangkah keluar dari zon selesa mereka dan membuktikan kekuatan berhadapan dengan individu-individu gagah lain dari rantau ini!”

Tahun ini, R U Tough Enough juga memperkenalkan logo baharu dengan reka bentuk lencana yang menyerlahkan pemenang-pemenang R U Tough Enough sebagai kumpulan elit yang layak membawa gelaran R U Tough Enough seperti lencana kebanggaan yang dipakai ke mana sahaja mereka pergi!

Bekas peserta R U Tough Enough yang dahulu pernah datang dari segenap lapisan masyarakat, dari pembuat roti dan pekerja bank kepada guru dan juga jurulatih. Apa yang membezakan mereka adalah kegigihan mereka untuk merentasi zon selesa, sambil mengharungi rintangan keraguan, keletihan dan ketakutan agar mereka dapat menonjolkan prestasi yang terbaik di Final Showdown nanti.

R U Tough Enough 2019

Mohd Saddam Bin Mohd Pittli, yang dinobatkan ‘Southeast Asia’s Toughest 2018’, terpaksa berjuang untuk setiap peluang dalam hidupnya. Kehilangan ibunya pada usia 11 tahun bersama 9 adik-beradiknya menjadikan beliau seorang yang kuat. Kemudian Saddam mendaftarkan namanya dalam tentera, yang membuatkan dirinya bertambah kental. Menduduki tempat pertama dalam pertandingan Spartan Race pada 2016 dan 2017 memberikan dirinya keyakinan untuk memcuba sesuatu yang baharu, dan seterusnya menyertai R U Tough Enough Southeast Asia pada tahun 2018. Dengan jiwa seorang juara, matlamat jangka panjang Saddam adalah untuk mengadakan bootcamp buat rakyat Malaysia agar mereka dapat mempelajari cara gaya hidup yang sihat. Sejak memenangi gelaran tahun lalu, dia juga sudah mula membeli peralatan dan membantu rakan-rakannya untuk kekal cergas.

Manakala bagi Benny Yeoh, pemenang tahun 2016, kisah peribadinya memainkan peranan penting dalam membangunkan kekuatan dalaman dan ketahanannya. Gaya hidup yang tidak sihat menyebabkan dirinya mengalami masalah kesihatan dan berat badan. Pada akhirnya dia tersedar dan bangkit semula untuk mengubah gaya hidupnya. Walaupun mengharungi pelbagai rintangan, dia bertekad untuk menjadi seorang yang lebih baik, lebih sihat, lebih kuat dan seorang yang percaya dengan diri sendiri. Hari ini, Benny mengiktiraf pengalaman sepanjang R U Tough Enough sebagai tenaga penggerak di sebalik kejayaan dirinya termasuk bidang lain dalam kehidupannya. Sekarang Benny kekal gagah dan akan menjadi salah seorang pengadil untuk R U Tough Enough tahun ini.

Kekuatan fizikal, kecekalan mental dan ketahanan emosi adalah teras utama juara R U Tough Enough, dan pemohonan secara dalam talian kini sudah dibuka kepada peserta lelaki dan wanita yang bersedia untuk menghadapi cabaran R U Tough Enough Southeast Asia 2019 dimana empat finalis akan dipilih untuk mewakili Malaysia!

Final Showdown akan menyaksikan finalis Malaysia bersaing dengan peserta yang paling gagah dari Hong Kong, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

R U Tough Enough Southeast Asia 2019 dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Untuk menyertai, anda boleh memohon secara dalam talian di www.KIX-TV.com/tough selewat-lewatnya pada 22 September 2019. Calon-calon yang terpilih akan dijemput untuk menghadiri sesi ujibakat tertutup dan seramai empat finalis akan dipilih untuk mewakili Malaysia menandingi finalis dari negara Asia Tenggara dan Hong Kong dalam Final Showdown di Sunway Pyramid pada Ahad, 3 November 2019.

Dapatkan maklumat terkini yang berkaitan pertandingan ini melalui akaun media sosial KIX HD.

Facebook: @KIXAsia
Twitter: @KIXAsia
Instagram: @KIXAsia

Baca artikel: 5 tempat paling misteri di dunia

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!