‘PACE’ menangi hadiah utama BMW Shorties 2019

'PACE' menangi hadiah utama BMW Shorties 2019

Pertandingan filem pendek paling berprestij dengan sejarah penganjuran yang paling lama di Malaysia meraikan pembikin-pembikin filem dan kandungan digital tempatan di REXKL sempena Urbanscapes 2019.

BMW Shorties telah menobatkan sebuah filem pendek berjudul ‘PACE’ oleh Ekin Kee Charles sebagai Pemenang Hadiah Utama bagi edisi pertandingan yang ketiga belas ini. Hadiah Utama yang bernilai RM80,000 dalam bentuk geran produksi dipersembahkan pada Malam Penganugerahan BMW Shorties 2019.

‘PACE’ ialah sebuah filem pendek berdurasi 15 minit ini mengisarkan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang cuba menyelami identiti beliau buat pertama kali di sebuah kota kecil yang terletak di Sabah. Berkisarkan zaman kanak-kanak, kisah ini mengilustrasikan persoalan mengenai identiti seorang individu pada usia yang rentan menerusi perspektif Yaya. Beliau mempunyai keinginan yang sama seperti kumpulan rakan-rakannya yang lain. Bertekad untuk dilihat bukan sahaja sebagai seorang perempuan dalam kalangan rakan-rakannya, beliau juga cuba mencabar batasan yang ditetapkan kepada kaum wanita dalam dunia ini yang tampak hanya berputar untuk golongan lelaki sahaja.

'PACE' menangi hadiah utama BMW Shorties 2019
Ekin Kee Charles

“Saya berbesar hati untuk dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Utama BMW Shorties bagi tahun 2019. Saya berasa rendah hati dan teruja untuk menerima pengiktirafan ini, bukan sahaja untuk diri saya sendiri, malah untuk setiap individu dari kampung halaman saya yang telah membantu merealisasikan ‘PACE’. Bagi anak-anak saudara saya yang telah membintangi filem pendek ini, saya mendedikasikan kemenangan ini kepada anda. Saya juga memanjatkan ucapan syukur kepada BMW Shorties kerana sejak sekian lama, mereka telah menyediakan platform bagi individu-individu yang beraspirasi seperti kami untuk meluahkan suara dan memperjuangkan kisah yang ingin kami ceritakan; kisah-kisah yang harus didengari oleh Malaysia,” ujar Syahnur Asyikin Kee Charles, atau lebih dikenali sebagai Ekin.

Siswazah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mengambil jurusan Sinematografi, Ekin telah menyertai BMW Shorties buat pertama kali dengan filem pendeknya, ‘PACE’. Karya beliau yang menarik hati dengan elemen penceritaan yang kompleks, bersulamkan gubahan visual yang menawan serta kualiti produksi yang cemerlang. Sekali gus, Ekin dan pasukannya juga telah berjaya memenangi anugerah Suntingan Terbaik.

“Pembikinan filem pendek ini bukan satu tugas yang mudah, namun masa yang saya dapat luangkan bersama anak-anak saudara saya dalam proses ini telah menjadikan ia satu pengalaman yang luar biasa. Kami telah mengarahkan kanak-kanak yang tiada pengalaman lakonan dan penggambaran filem pendek ini dibuat tanpa skrip, kisah tersebut diceritakan melalui emosi dan reaksi spontan kanak-kanak ini terhadap arahan yang kami berikan kepada mereka. Dengan ‘PACE’, saya telah berikhtiar untuk menyampaikan sebuah mesej mengisarkan jantina, identiti dan pelbagai konflik lain yang kita alami dengan diri sendiri, tidak kira usia; dan saya berbangga kerana saya dapat mengecapinya,” tambah Ekin.

Adrian Teh, pengarah dan juri BMW Shorties 2019 sementara itu berkata, “Setelah menonton ‘PACE’ buat pertama kali, serta-merta saya dapat tahu bahawa Ekin memiliki sesuatu yang unik untuk diceritakan. Beliau menggandingkan secara halus aspek emosi serta kesucian yang diperlihatkan oleh pelakon kanak-kanak ini, mereka telah membawakan sebuah kisah menyentuh jiwa yang mencerminkan hakikat nyata seorang kanak-kanak yang diselubungi oleh pelbagai persoalan mengenai identitinya.”

Sementara itu, Amanda Nell-Eu, pembikin filem dan juri BMW Shorties 2019 turut berkata, “Jarang sekali kita dapat melihat sebuah filem pendek yang tersirat dengan elemen-elemen yang penuh emosi dan tersurat dengan sebuah jalan cerita yang lantang, meskipun dialog di antara watak-watak dalam filem ini adalah terhad. Ekin berjaya membawa sebuah mesej yang ringkas dan menggunakannya untuk menzahirkan sebuah karya berdurasi 15 minit yang menggamit emosi – terutamanya untuk audiens yang lebih berumur, ia mengingatkan mereka semula tentang zaman kanak-kanak masing-masing.”

Nadira Ilana, pengarah serta juri BMW Shorties 2019 berkongsi, “Walaupun para pembikin filem dan kandungan dari Malaysia Timur digalakkan untuk tidak menapis realiti kesukaran hidup dan perjuangan yang mereka lalui di halaman mereka, Ekin telah mempersembahkan satu sudut baharu yang nyaring dalam karya penceritaan melibatkan Malaysia Timur. ‘PACE’ menunjukkan kepada para penonton bahawa kehidupan di Sabah dan Sarawak bukan selalunya seperti yang digambarkan oleh media arus perdana.”

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia turut mengambil peluang untuk berkata, “Tema tahun ini yang bukan konvensional berjaya menghimpunkan pembikin filem serta pencipta kandungan yang terbaik di Malaysia. Dengan jumlah penyertaan yang tinggi dicatat pada tahun ini, kami berasa kagum untuk melihat bakat-bakat tanah air mendemonstrasikan minat dan dedikasi mereka dalam menggambarkan interpretasi mereka mengikut tema tahun ini, ‘UNCHARTED’, justeru kami berbangga untuk terus memberi dorongan kepada mereka.”

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia menyatakan, “BMW Shorties 2019 telah mendemonstrasikan sekali lagi bahawa terdapat banyak lagi bakat-bakat baharu yang boleh ditemui dan digilap di seluruh Malaysia, dengan menyediakan wadah untuk membolehkan mereka meluahkan suara masing-masing. Rekod penyertaan yang tertinggi pada tahun ini juga memberi dorongan kepada kami untuk terus menerajui inisiatif ini agar bakat-bakat tempatan dapat diberi peluang untuk mengongsikan kisah mereka kepada Malaysia, serta seluruh dunia.”

Filem-filem pendek yang dinukilkan oleh para finalis boleh ditonton di laman YouTube rasmi BMW Shorties di www.youtube.com/user/bmwshortiesmy. Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Shorties, sila layari laman web rasmi BMW Shorties di bmwshorties.com.my. Jika anda ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai acara-acara BMW Shorties yang akan datang, sila kunjungi laman Facebook BMW Shorties di facebook.com/bmwshorties dan Instagram di instagram.com/bmwshorties.

Pemenang-Pemenang Anugerah BMW Shorties 2019 ialah:

Anugerah Hadiah Utama
‘Pace’ oleh Syahnur Asyikin Kee Charles (Ekin Kee Charles)

Anugerah Pilihan Popular
Ralat The Musical oleh Khairi Anwar

Anugerah Pengarah Terbaik
Putri Purnama Sugua untuk ‘Di Sini Aku’

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik
Afiq Rahem dalam ‘Dibuaian Mimpi’

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik
Putri Syahadah Nurjannah dalam ‘Kencing Malam’

Anugerah Pelajar Terbaik
Tan Hong Ken untuk ‘The Past’

Anugerah Sinematografi Terbaik
Adrian Wong untuk ‘Birthday’

Anugerah Suntingan Terbaik
Syahnur Asyikin Kee Charles (Ekin Kee Charles) untuk ‘Pace’

Anugerah Lakon Layar Terbaik
Hazim Hisham dan Ariff Zulkarnain untuk ‘Untuk Satu Malam’

Anugerah Rekaan Bunyi Terbaik
Ng Kwok Yong untuk ‘Husk’

Anugerah Rekaan Produksi Terbaik
Justin Chong Jun Wee untuk ‘The Kingdom or The Beauty’

Baca artikel: 5 tempat paling misteri di dunia

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!