KLCCBEA berganding bahu menyokong dan menjadi tuan rumah Cabaran IT Malaysia (MITC) untuk Belia Kelainan Upaya 2019

Cabaran IT Malaysia (MITC) 2019

Pusat KonvensyenKuala Lumpur (Kuala Lumpur Convention Centre) dan rakan-rakan hotel dalam Perikatan Acara Perniagaan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCCBEA) baru-baru ini berganding bahu untuk menaja dan menganjurkan Cabaran IT Malaysia (MITC) bagi Belia Kelainan Upaya 2019, dengan menyediakan ruang acara dan penginapan percuma bagi para peserta. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas, telah hadir untuk menutup tirai acara dua hari ini, yang disertai oleh lebih 60 pelajar kelainan upaya dari seluruh Malaysia.

Diadakan buat julung kali di Kuala Lumpur, seramai 64 pelajar kelainan upaya yang berusia antara 13 hingga 18 tahun, yang mengalami kecacatan pendengaran, masalah pembelajaran dan kehilangan upaya fizikal, telah bersaing di MITC. Akhirnya, terdapat empat pelajar dari pelbagai sekolah di Kuala Lumpur muncul sebagai juara dan mereka akan mewakili Malaysia di Cabaran IT Global di Seoul, Korea Selatan lewat tahun ini.

Cabaran kali ini memasuki edisi keempat MITC. Pelajar dinilai menerusi cabaran yang meliputi empat kategori, termasuk e-Kreatif, e-PetaKehidupan, e-Alatan dan Kandungan Pembelajaran. Dua cabaran adalah bersifat individu dan dua lagi merupakan aktiviti berasaskan pasukan. Setiap pasukan dianggotai oleh empat peserta dan mesti mempunyai seorang yang cacat penglihatan, cacat pendengaran, kurang upaya belajar dan kurang upaya fizikal.

Pusat Konvensyen Orang Ramai

Pengurus Besar Pusat Konvensyen, Alan Pryor, berkata, “Kami berbesar hati untuk menaja tempat acara bagi MITC 2019 dan menyokong inisiatif penting ini yang memberi tumpuan terhadap agenda digital dan pendidikan bagi golongan kelainan upaya negara. Sebagai ‘Pusat Konvensyen Orang Ramai’ dan kemudahan dibina khas terulung di Malaysia, kami merupakan sebuah organisasi yang menunaikan tanggungjawab sosialnya dan berusaha untuk menabur bakti kepada Malaysia dan masyarakat di tempat kami beroperasi. Justeru, tajaan acara penting ini adalah selaras dengan tunggak pendidikan program Penglibatan Masyarakat kami, yang bertujuan menyokong projek-projek yang memajukan pembangunan pendidikan di negara ini.”

Beliau menyambung, “Ciri-ciri ketercapaian universal bertaraf dunia kemudahan ini membolehkan kami menganjurkan acara seperti ini, lantas memberi peluang kepada masyarakat untuk berhimpun, berhubung dan bertukar-tukar idea yang menghasilkan pemindahan ilmu untuk menggiatkan lagi inisiatif membina negara Malaysia.”

Perikatan Acara Perniagaan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCCBEA)

Di samping itu, Pusat Konvensyen telah menyelaraskan penglibatan rakan-rakan hotel KLCCBEA, iaitu Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Traders Hotel Kuala Lumpur dan Impiana KLCC Hotel menerusi tajaan penginapan peserta untuk membantu memastikan MITC dianjurkan dengan jayanya dan mengukir kenangan manis untuk para peserta.

Perikatan ini memaparkan betapa pentingnya ketercapaian dan keterhubungan kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan berusaha meningkatkan dan mengoptimumkan pengalaman pelanggan menerusi kerjasama dengan rakan-rakan yang beroperasi di kawasan ini.

“Kami memuji usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan guru-guru untuk menyokong dan menganjurkan acara ini. Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru dari seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam cabaran ini dan menjadikan acara ini sebagai pengalaman yang begitu menarik,” rumus Pryor.

Semasa merakamkan penghargaan kepada Pusat Konvensyen atas tajaan MITC, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar, Penganjur MITC, berkata “Acara ini tidak akan dapat dijayakan tanpa sokongan padu yang diberikan oleh Pusat Konvensyen sepanjang acara. Kami amat menghargai tajaan ini, yang membolehkan kami mengadakan aktiviti yang sungguh menarik bagi pelajar dan guru. Kami gembira untuk melihat para pelajar diberi peluang untuk menyerlahkan bakat masing-masing dan menunjukkan kepada dunia bahawa pelajar kelainan upaya Malaysia boleh memberikan sumbangan bermakna kepada tenaga kerja pada masa depan.”

Maznah menyambung, “Untuk mencapai matlamat ini, penganjuran MITC ialah satu langkah penting untuk kami mewujudkan peluang bagi para pelajar menimba ilmu, kemahiran dan memupuk sikap yang perlu bagi membantu mereka kekal relevan untuk kerjaya abad ke-21, terutamanya sambil negara kita berkembang maju memasuki revolusi perindustrian 4.0. Tahniah kepada pemenang-pemenang yang akan mewakili Malaysia di Cabaran IT Global 2019. Kami mengucapkan selamat maju jaya dan kami yakin anda akan mengharumkan nama Malaysia.”


Sila layari laman sesawang rakan digital kami iaitu sajilibur.com dan xmastika.my.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!