Kenali jenis kebakaran dan cara mengatasinya

Jenis kebakaran dan cara mengatasinya

Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan. Begitulah sifat api jika dibiarkan menjadi besar dan marak kerana ia mampu untuk meragut nyawa.

Tetapi tahukah anda kebakaran ini dikategorikan kepada beberapa jenis dan bahan yang digunakan juga adalah berbeza untuk mudah memadamkan kebakaran tersebut.

Berikut disenaraikan jenis kategori kebakaran dan cara mengatasinya menggunakan alat pemadam api.

Kategori @ Kelas kebakaran
Kelas A – Kebakaran bahan pepejal atau organik, seperti kayu, plastik, kertas, tekstil, atau arang batu.
Kelas B – Kebakaran cecair mudah terbakar, seperti petrol, cat, atau diesel.
Kelas C – Kebakaran gas mudah terbakar, seperti propana, butana, atau metana.
Kelas D – Kebakaran logam mudah terbakar, seperti magnesium, litium, natrium, kalium, titanium, atau aluminium.
Kelas E – Kebakaran peralatan elektrik dan sumber elektrik (litar pintas).
Kelas F / Kelas K – Kebakaran minyak masak, seperti minyak sayuran, minyak bunga matahari, minyak zaitun, minyak jagung, lemak, atau mentega.

Jenis alat pemadam api

Jenis kebakaran dan cara mengatasinya

1. Air
Ia merupakan model yang mengeluarkan air pada tekanan tinggi untuk memadamkan api. Air memberikan kesan penyejukan yang cepat pada permukaan bahan api, serta mampu menghalang api merebak dengan lebih pantas.

Warna: Merah dan mempunyai perkataan ‘water‘ berwarna putih.

Sesuai untuk: Kelas A.

2. Busa (buih)
Alat pemadam api busa merupakan model yang berasaskan air tetapi hanya mengeluarkan buih dan menghasilkan wap air untuk menghalang api dari terus merebak.

Warna: Merah dan mempunyai perkataan ‘foam‘ di atasnya dengan segi empat berwarna krim di sekeliling teks.

Sesuai untuk: Kelas A dan B.

Apabila alat pemadam kebakaran jenis busa ini digunakan untuk kebakaran kelas A, kita hanya perlu tuju dan sembur sahaja pada objek yang terbakar. Bagaimanapun, jika digunakan untuk kebakaran kelas B, ia tidak boleh diguna langsung pada objek yang terbakar itu, malah ia akan mendorong api untuk lebih cepat merebak. Kaedah penggunaan yang terbaik ialah menyembur busa tersebut di sekitar kawasan kebakaran supaya api tidak merebak mengenai anda.

3. Serbuk
Jenis pemadam api berserbuk ini tidak mampu untuk memadam kebakaran sepenuhnya. Malah ia akan meninggalkan kesan yang sukar untuk dibersihkan dan menyebabkan kerosakan pada perabot.

Warna: Merah dan mempunyai perkataan ‘powder‘ berwarna putih di dalam kotak yang berwarna biru.

Sesuai untuk: Kelas A, B, C dan E.

4. Karbon Dioksida (CO2)
Alat pemadam kebakaran jenis CO2 bagus untuk memadam kebakaran tanpa meninggalkan apa-apa kesan, tidak seperti jenis alat pemadam yang lain. Tetapi api mungkin akan menyala semula jika sumber kebakaran tersebut tidak dihentikan.

Warna: Merah dan mempunyai perkataan ‘CO2’ berwarna putih dalam segi empat yang berwarna hitam. Ia juga mempunyai jenis hos berbeza dan tidak seperti alat pemadam api yang lain.

Sesuai untuk: Kelas B dan E.

Alat pemadam kebakaran jenis CO2 ini amat sesuai untuk pejabat atau bengkel di mana kebakaran yang berpunca oleh litar pintas mudah berlaku.

5. Bahan kimia basah
Alat pemadam kebakaran jenis bahan kimia basah ini boleh digunakan untuk memadamkan api yang bersuhu tinggi. Ia mampu menyejukkan minyak yang terbakar itu dan menjadikannya seperti sabun atau gel untuk menghalang api dari menyala semula.

Warna: Merah dan memiliki perkataan ‘wet chemical‘ yang tertera di dalam kotak berwarna kuning.

Sesuai untuk: Kelas F.

Jenis pemadam kebakaran ‘wet chemical’ ini tidak sesuai untuk kebakaran kelas B.

 

Cara penggunaan alat pemadam api.

  1. Tanggalkan pin yang terdapat pada alat pemadam api.
  2. Halakan muncung pemadam ke arah api. (Jangan sentuh bahagian muncung plastik jika menggunakan jenis CO2, kerana ia boleh menjadi sangat sejuk.)
  3. Tekan picu untuk memulakan semburan.
  4. Sembur dari kiri ke kanan, dan kanan ke kiri, seperti menggunakan penyapu.
 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!