‘Kau Jangan Kurang Ajar’ bukti kematangan FTG

FTG Kau Jangan Kurang Ajar

Kumpulan FTG yang membawa irama muzik trash ini pernah menjadi popular satu ketika dahulu. Band yang ditubuhkan pada tahun 1989 dan berasal dari Kuala Lumpur ini pada awalnya dianggotai oleh Ibat (vokal), Jac (gitar), Mie (bass) dan Zam (dram).

Mereka boleh dikatakan sebagai peledak kepada industri muzik berat tempatan kerana berjaya membolosi persada muzik mainstream setelah muncul dengan EP yang berjudul ‘Freedom Thats Gone’ pada tahun 1991 di bawah label Karun Seni (FGM). Pada tahun yang sama juga FTG telah mempertaruhkan 2 buah lagu iaitu Behind This Wall dan Kill Exxl dalam rancangan Muzik-Muzik.

Pada tahun 1992, mereka tampil dengan album sulung berjudul After The Promise di bawah label Valentine Sound Production. Sehingga kini FTG telah memiliki 10 buah album studio, antaranya ialah Spirit To Rebel (1994), To The Front (1996), Aku Tak Peduli (1998), Made In Malaysia (1999), FTG (2000), Made In Malaysia Vol. 2 (2001), Reborn (2002), Stop This Madness (2004) dan Kuasa (2006).

FTG kemudiannya tiba-tiba hilang dari radar industri muzik tempatan tanpa sebarang album baharu. Namun mereka telah kembali semula pada 27 Februari 2016 di pentas Hard Rock Cafe Melaka setelah lama menghilang. Bermula dari situ, semangat mereka telah kembali untuk mengadakan beberapa siri jelajah yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment.

 

Kau Jangan Kurang Ajar

Pada 2 Oktober 2019 yang lepas, FTG tampil dengan melancarkan album terbaharu mereka yang berjudul Kau Jangan Kurang Ajar. Dengan muzik yang lebih berat, mereka masih mengekalkan lirik yang sarat dengan mesej untuk dihayati oleh peminat.

“Album ini telah dirakamkan di Quantize Studio Pandan Indah dan proses mixing di King Studio yang telah dilakukan oleh Sara. Manakala proses mastering pula dilakukan di Sri Damansara oleh CL Toh”, ujar Mie.

“Daripada apa yang kami dengar dan apa yang kami lakukan sepanjang proses penerbitan, mixing dan mastering ternyata apa yang ingin kami persembahkan kepada peminat nyata memenuhi keperluan halwa telinga, dan kami rasa inilah yang terbaik dan mampu kami hadiahkan buat peminat di luar sana yang selama ini menyokong karier seni kami”, ujar Mie lagi.

Meskipun pendengar boleh menikmati karya FTG sebelum ini melalui pelbagai platform seperti muat turun di internet dan sebagainya, mereka tetap menyediakan album yang berbentuk fizikal kerana ia ternyata dapat memberikan kepuasan buat peminat selain ia boleh disimpan sebagai koleksi peribadi.

FTG Kau Jangan Kurang Ajar

8 buah lagu

Album ‘Kau Jangan Kurang Ajar’ ini memuatkan 8 buah lagu antaranya Kita Bukan Anjing, Kalau Bodoh Jangan Sombong, Demokrasi Mimpi, Ibu Maafkan, Aku Bukan Izrail, Pengkhianat Lahanat, Dajjal (Musa Al Samiri) dan Kau Jangan Kurang Ajar.

“Terima kasih yang tidak terhingga buat Rockstage Entertainment kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk terus berkarya, meskipun sebelum ini kami pernah bernaung di bawah syarikat rakaman yang besar seperti FGM dan Pony Canyon (Interglobal)”, ujar Mie mengakhiri perbualan ringkas mengenai album terbaharu.

Peminat boleh mendapatkan album baharu FTG berjudul ‘Kau Jangan Kurang Ajar’ dalam format cakera padat, manakala format kaset hanya dikeluarkan dengan kuantiti yang terhad sahaja.

FTG dan Rockstage Entertainment juga bakal menjelajah ke beberapa lokasi untuk mempromosikan album ini selain mengukuhkan silaturahim bersama peminat. Sebagai permulaan, mereka akan mengadakan persembahan di Dewan Lipis Grand Continental Hotel, Kuantan pada 26 Oktober 2019. Selain FTG peminat juga akan dihiburkan oleh kumpulan Giegil, The Pilgrims serta Nosferial. Siri jelajah ini kemudiannya akan diteruskan di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Johor.

Baca artikel: Doa Dari Kami – Bunyamin

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!