Hati-hati memilih sepatu si kecil

Sepatu si kecil

Apabila anak kecil melangkah buat pertama kalinya, ibu bapalah orang yang paling teruja dan gembira kerana anak kesayangan mereka kini telah menginjak ke fasa seterusnya.

Untuk melihat si kecil melangkah dengan lebih yakin dan berani, pemilihan kasut yang selesa dan sesuai amat penting untuk menyokong dan menguatkan otot kaki anak anda supaya tidak mudah tercedera mahupun terjatuh.

Terdapat pelbagai gaya kasut yang dicipta dan dijual di pasaran walaupun ada yang tidak praktikal dan membahayakan si pemakai.

Pemilihan kasut yang betul memainkan peranan penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan anak-anak kita terjamin.

Tempoh pembesaran kanak-kanak adalah penting untuk mengelakkan masalah lengkung bawah tapak kaki tidak berkembang dengan betul atau lebih dikenali sebagai kaki rata. Tapak kaki rata juga boleh terjadi disebabkan oleh kecederaan dan akan menimbulkan masalah pada buku lali serta lutut dengan mengubah kedudukan kaki anak anda.

Oleh kerana itu, penekanan perlu diberikan terhadap kepentingan pelapik kaki bagi menyelaraskan kaki dan buku lali pada kedudukan tepat mengikut sistem anatomi. Pelapik ini juga dikatakan berfungsi untuk mengurangkan tekanan dan menegangkan tubuh dengan mengembalikan posisi kaki di kedudukan betul.

Bagaimana memilih kasut yang sesuai?
● Gunakan kasut yang bersesuaian dengan aktiviti kerana ia merupakan aspek paling penting.
● Ukur kaki sebelum membeli kasut kerana lebar kaki meningkat seiring dengan usia.
● Beli kasut pada waktu petang kerana kaki akan mengembang setelah berjalan seharian.
● Cuba kedua-dua belah kasut dan berjalan sekeliling kedai kasut untuk menguji keselesaan kasut sebelum membeli.
● Pastikan kasut memiliki ruang untuk jari-jari kaki bergerak.
● Pilih kasut yang lembut pada bahagian atas serta dibuat dari bahan yang mudah lentur agar sesuai dengan bentuk kaki kerana ia kurang menyakitkan kaki.
● Pilih tapak kasut yang tebal, lembut dan berkualiti kerana ia dapat mengurangkan tekanan semasa berjalan, terutama atas permukaan yang keras.
● Untuk bayi yang baru bertatih, gunakan kasut pre walker yang lembut dan selesa. Apabila kakinya sudah kuat, belikan kasut pertamanya dengan tapak yang lebih keras tetapi selesa.

Tip-tip penting sebelum membeli kasut

Sepatu si kecil
Kasut bukan sekadar fesyen.

Selalunya ibu bapa gemar membeli kasut yang cantik dan bergaya tanpa mengambil kira material dan keadaan kasut tersebut. Untuk mendapatkan kasut yang elok dan selesa, ikuti tip-tip berikut;

Penggunaan fabrik dan bahan material
● Untuk memilih kasut kanak-kanak, fabrik dan material yang digunakan adalah amat penting. Ia kerana kaki kanak-kanak sangat sensitif dan mudah cedera, lebih-lebih lagi jika kasut yang dibeli bersifat keras. Pastikan fabrik yang digunakan bersifat organik dan semula jadi, diperbuat daripada kulit yang lembut atau getah yang berkualiti dan mudah lentur serta menyerap udara apabila kaki berpeluh.

Bentuk dan saiz kasut
● Pastikan bentuk kasut yang dipilih sesuai dengan kaki anak anda. Jangan pilih kasut yang boleh menyakitkan kaki kanak-kanak kerana ia akan menyukarkan mereka untuk bergerak. Jika kaki anak anda jenis melebar, pilih kasut berbentuk bulat di hadapan dan elakkan memilih bentuk tirus.
● Untuk saiz kasut, ukur dahulu panjang kaki anak anda. Sekiranya anda ke butik kasut, di sana ada disediakan alat pengukur kaki. Anda boleh membeli saiz yang lebih besar sedikit daripada saiz kaki untuk memberi ruang udara supaya kaki si kecil boleh bernafas. Kaki kanak-kanak yang memakai kasut ketat mudah melecet dan bengkok.

Tapak berkualiti
● Kanak-kanak bersifat aktif dan gemar berlari ke sana sini. Justeru, pemilihan tapak kasut yang sesuai adalah penting supaya mereka tidak mudah tergelincir dan jatuh. Pastikan tapak kasut tidak licin dan seeloknya pilih tapak yang mempunyai getah yang mencengkam apabila berada di permukaan yang licin. Tapak yang berkualiti memberikan anak fleksibiliti dan kestabilan yang diperlukan apabila mereka melompat dan berlari.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!