BMW Shorties pamerkan bakat baharu dalam arena perfileman dan kandungan digital

BMW Shorties

BMW Group Malaysia telah menerima lebih daripada 130 penyertaan filem pendek untuk program BMW Shorties bagi edisi tahun 2019. Ia merupakan jumlah yang tertinggi pernah direkodkan sejak mula diperkenalkan pada 13 tahun yang lalu. Ia juga merupakan wadah kepada penemuan bakat-bakat baharu tempatan dalam arena perfileman dan kandungan digital.

BMW Shorties

“Sejak kami mengorak langkah yang pertama, kami telah menyaksikan kemunculan bakat- bakat yang luar biasa bersama interpretasi yang menawan dan serba kreatif dizahirkan oleh mereka berdasarkan tema yang kami persembahkan pada setiap tahun. Pada tahun ini, kami telah menerima jumlah penyertaan yang tertinggi bagi pertandingan ini. BMW Shorties juga terus menawarkan sokongan kepada minda-minda kreatif di Malaysia yang turut berjaya melebarkan sayap mereka dengan menghasilkan karya mereka sendiri, serta meraih pengiktirafan di persada antarabangsa. Kami di BMW Group Malaysia berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada proses ini, bakat-bakat tempatan diperkasakan agar mereka dapat mengejar cita-cita mereka dalam dunia perfileman dan kandungan digital,” ujar Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat, BMW Group Malaysia.

Tambah Ambi, pengeluar kenderaan premium ini turut diselubungi keterujaan untuk menganjurkan Tayangan BMW Shorties di REXKL untuk Urbanscapes 2019, yang bakal mempersembahkan siaran pelbagai filem yang berasal dari Asia Tenggara. Ujar beliau, “BMW Shorties akan membawa semula filem ke REXKL sepanjang tempoh satu minggu di Urbanscapes 2019. REXKL merupakan sebuah institusi yang ikonik buat karya-karya perfileman yang terletak di Kuala Lumpur dan ia merupakan lokasi yang sempurna untuk meraikan BMW Shorties pada tahun ini.”

Tayangan BMW Shorties merupakan sebuah acara yang berlangsung selama satu minggu di REXKL yang membariskan karya ramai pengarah popular di rantau Asia Tenggara termasuk pemenang-pemenang BMW Shorties yang terdahulu – Fly by Night oleh Zahir Omar dan Jagat oleh Shanjhey Kumar. Acara tersebut juga akan menampilkan lima bengkel menarik yang dikemudikan oleh peneraju-peneraju industri perfileman tempatan, seperti pengarah, Adrian Teh (PASKAL: The Movie) dan pembikin dokumentari, Indrani Kopal (Incarcerated Rhythm).

Acara berkenaan akan diakhiri dengan Malam Penganugerahan BMW Shorties pada tanggal 23 November 2019 dengan Pemenang Hadiah Utama yang ke-13 akan diumumkan. Anugerah untuk pelbagai kategori sokongan juga akan diberikan seperti Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik, Anugerah Pilihan Popular, berserta kategori baharu untuk Anugerah Pelajar Terbaik.

Layari laman sesawang www.bmwshorties.com.my dan www.urbanscapes.com.my serta laman media sosial www.facebook.com/bmwshorties dan www.instagram.com/bmwshorties untuk maklumat lanjut.

Sumber gambar: facebook.com/bmwshorties

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!