Adab yang harus dipelajari oleh anak-anak

Adab yang harus dipelajari oleh anak-anak

Kita sering menitikberatkan pembelajaran asas seperti membaca ABC dan mengira nombor kepada anak-anak yang masih kecil. Tetapi kita sering terlupa untuk mengajar mereka mengenai adab.

Seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ kerana mereka akan menjadi semakin susah untuk menerima teguran setelah menjadi semakin dewasa.

Berikut disenaraikan adab-adab yang harus dipelajari oleh anak-anak;

Tolong
Adab pertama yang harus dipelajari ialah mengucapkan perkataan “tolong”. Ia juga merupakan perkara asas untuk anak-anak kecil ini mempelajari untuk menghormati orang lain.

Terima kasih
Perkara kedua yang harus dipelajari ialah mengucapkan perkataan “terima kasih”. Kita harus mengucapkannya setiap kali orang lain melakukan sesuatu perkara untuk kita. Ia merupakan tanda bahawa kita menghargai pertolongan orang lain.

Minta izin
Tiada siapa boleh melakukan apa sahaja sesuka hati mereka, termasuklah kanak-kanak. Ajar anak-anak kita untuk meminta izin terlebih dahulu seperti sebelum keluar bermain atau mengambil makanan dari dalam peti sejuk. Pembelajaran ini akan menjadikan mereka untuk menjadi lebih sopan.

Tanya khabar
Bertanya khabar ialah perkara asas untuk memulakan perbualan. Selain bercakap, ia turut mendidik kanak-kanak untuk belajar mendengar. Tetapi jika anak anda hanya bercakap mengenai dirinya sahaja, bimbang ia akan menjadi tabiat yang kurang sopan sehingga mereka dewasa.

Minta maaf
Mengaku kesalahan sendiri merupakan antara perkara paling sukar untuk dilakukan. Ajar anak-anak untuk meminta maaf setiap kali mereka melakukan kesalahan.

Hormat orang tua
Ajar anak-anak untuk memanggil orang yang lebih tua dari mereka dengan panggilan yang bersesuaian seperti pakcik, makcik, abang dan kakak. Selain itu, jangan dibiasakan untuk anak-anak menyampuk setiap kali orang tua berbual.

Layanan baik
Ingatkan anak-anak untuk melayan orang lain seperti mana mereka mahu dilayan. Ia juga merupakan perkara asas yang perlu mereka lakukan jika mahu berkawan dengan kanak-kanak lain.

Adab yang harus dipelajari oleh anak-anak

Adab meja makan
Jangan biarkan anak-anak berkelakuan kurang sopan ketika di meja makan. Antara adab di meja makan yang harus dipelajari ialah tidak makan dengan gelojoh serta bersepah, tidak membuat bising, makan dengan menggunakan tangan kanan serta membasuh tangan sebelum dan selepas makan.

Kebersihan
Galakkan anak-anak untuk menjaga kebersihan seperti mandi dan memberus gigi. Ia bertujuan supaya mereka tidak memberikan bau yang kurang selesa kepada orang lain.

Mengemas
Antara perkara asas yang sering kita lupa untuk ajar pada anak-anak ialah mengemas. Pastikan anak-anak kita menyimpan semula mainan mereka selepas bermain. Seorang yang baik dan bersopan tidak akan menyusahkan orang lain untuk mengemas barangan peribadi mereka.

Hormat privasi
Kanak-kanak memang suka bermain dan meneroka tempat baharu. Ajar mereka untuk menghormati ruang privasi orang lain. Pastikan mereka tahu bagaimana untuk memberi salam dan mengetuk pintu serta menunggu jawapan salam sebelum memasuki rumah atau bilik orang lain.

Bermain gajet
Jangan biarkan anak-anak bermain telefon pintar atau permainan video ketika waktu makan, di dalam panggung wayang atau ketika berbual dengan orang lain. Ia merupakan perkara yang kurang sopan dan perbuatan suka bermain gajet sepanjang masa boleh dianggap sebagai tidak menghormati orang lain. Malah perbuatan ini sering kita lihat dilakukan oleh orang dewasa pada hari ini.

Menolong
Sifat suka menolong merupakan perkara yang mulia. Galakkan anak-anak untuk menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Baca artikel: Hati-hati memilih sepatu si kecil

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
lagendapress.com
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!